JELEBU: Tiga lagi pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jelebu, di sini, yang diburu selepas melarikan diri daripada pusat terbabit awal pagi kelmarin berjaya ditangkap tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azizan Said berkata, kesemua tiga pelatih tersebut berjaya di tangkap di jalan Kongkoi, manakala baki dua lagi lelaki iaitu V. Manimaran, 38 dan K. Mohanaraj, 25 masih bebas.
“Sehubungan itu, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam bagi membantu pihak polis. Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi IPD Jelebu di talian 06-6136222 dan Bilik Gerakan Jelebu 06-6137999,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan enam pelatih Puspen Jelebu melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan kira-kira pukul 1 pagi kelmarin.
Salah seorang dari enam pelatih yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula di kawasan berhampiran kilang Rotan Titi Cane, Kongkoi, Jelebu, iaitu berjarak kira-kira lima kilometer (km) dari Puspen Jelebu kurang dari 24 jam. – UTUSAN