KOTA BHARU: Polis Kelantan berkerjasama dengan Kontinjen Perak dan Terengganu berkaitan kes kemalangan yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB Gerik, Perak, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sejurus selepas menerima maklumat, Ketua Polis Daerah Jeli bersama pasukannya ke lokasi untuk melihat situasi sebenar dan memberikan bantuan.
“Saya telah dihubungi Ketua Polis Perak dan Terengganu mengenai kemalangan tersebut. Pada masa sama, kita (Polis Kelantan) turut membantu mengiringi jenazah mangsa ke Terengganu dari Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak untuk proses pengebumian,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Ibadah Korban Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini. – UTUSAN