KUALA LUMPUR: Tiada lantikan menteri baharu bagi mengisi kekosongan berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bercadang melakukan sebarang rombakan Kabinet memandangkan kerajaan berfungsi seperti biasa.
Perdana Menteri berkata, walaupun Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu sudah menghantar surat peletakan jawatan dan bercuti, beliau hanya meluluskan permohonan cuti sahaja.
Katanya, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, beliau akan minta menteri lain untuk mengambil alih sementara tugas kedua-dua menteri berkenaan.
“Kami (Kabinet) memberikan masa untuk mereka fikir apa yang mahu dilakukan. Saya hanya meluluskan cuti mereka sahaja.”
“Pada masa sama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah diminta untuk meneruskan tugas masing-masing kerana kita sedang dalam proses rundingan di kalangan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)-China dan AS (Amerika Syarikat) mengenai tarif dikenakan (Presiden AS) Donald Trump,” katanya selepas majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di sini semalam.
Pada 28 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dipercayai susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti PKR minggu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri kekal walaupun beliau mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR.
Anwar berkata, Tengku Zafrul jalankan tugas dengan sangat baik dan sumbangan beliau masih diperlukan oleh negara.
“Tengku Zafrul menjalankan tugas dengan sangat baik, pelaburan kita ratusan bilion banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MITI dan kerajaan,’’ kata Perdana Menteri.
Mengenai hasrat Tengku Zafrul mahu menyertai PKR, Anwar berkata, itu adalah apa yang beliau hasratkan.
“Namun, kita belum bincang apa-apa pun sebab dia pergi menunaikan ibadat haji, jadi biar dulu.
“Bagi pihak Keadilan (PKR), tentulah kita perlu bincang dengan rakan-rakan dan fikir yang sebaiknya,” katanya.”
Sebelum ini, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa beliau menyerahkan kedudukannya dalam Kabinet kepada Perdana Menteri selepas UMNO menuntut agar kuota menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu.
Ia susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO untuk menyertai PKR yang mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima surat rasmi peletakan jawatan itu.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak menghormati keputusan Tengku Zafrul dan tidak membuat pelbagai tafsiran tidak sihat.
“Tengku Zafrul telah ambil keputusan dan kita hormat keputusan dia tetapi soal jawatan Menteri, tidak terjejas, kita mahu beliau teruskan tugas kerana prestasinya sangat baik dan negara perlukan sumbangannya,” katanya. – UTUSAN










