Tiada kelulusan bina kuil atas tanah kerajaan - Exco Perak - Utusan Malaysia

Tiada kelulusan bina kuil atas tanah kerajaan – Exco Perak

A. SIVANESAN (dua dari kiri) menunjukkan deraf pekeliling mengenai pembinaan kuil dalam sidang akhbar di Ipoh. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri memantau dan tidak lagi membenarkan kelulusan bagi pembinaan kuil secara tidak sah di atas rizab kerajaan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan berkata, perkara itu diputuskan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil 3/2025.

Menurutnya, pekeliling itu bakal menjadikan Perak negeri pertama dalam memastikan tidak ada lagi pembinaan kuil dibina tanpa kebenaran khususnya di atas rizab kerajaan.

“Jika hendak bina juga (kuil baru), mereka (pentadbir kuil) perlu membeli tanah sendiri dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). Kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

“Tetapi jika dibina atas tanah milik kerajaan, kita akan ambil tindakan serta merta melalui PBT. Jika kita kesan ia berlaku, kita ambil tindakan secara terus, semasa dalam pembinaan sahaja, kita akan robohkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pihaknya setakat ini telah menerima dan akan meneliti 18 aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) mengenai pembinaan kuil di atas tanah kerajaan yang didakwa tidak mempunyai kebenaran sah.

Sivanesan memberitahu kerana kerajaan negeri mengambil pendekatan berhemah agar aduan yang disampaikan dapat diselesaikan dengan cara harmoni.

“Kita dapat menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah menerusi perbincangan sebelum memanggil pentadbir kuil untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya boleh dipindahkan, kita pindah.

“Kita telah memanggil pentadbir kuil untuk berbincang jika keperluan mendesak untuk kuil itu berpindah maka akan pindah. Tindakan ini diambil khususnya kepada kuil sedia ada yang sudah bertapak lebih puluhan tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN