Thailand galakan rakyatnya di Kelantan berdaftar dengan Konsulat Jeneral

Thailand galakan rakyatnya di Kelantan berdaftar dengan Konsulat Jeneral

PHASIT Chudabuddhi (kanan) beramah mesra dengan peserta yang menyertai Pertandingan Memasak Makanan Thai 2025 di Pejabat Konsulat Jeneral Thailand, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Thailand menggalakan rakyat yang menetap di negeri ini supaya mendaftarkan diri mereka dengan pejabat Konsulat Jeneral Diraja Thailand bagi memudahkan bantuan diberikan jika mereka berdepan masalah.

Konsulat Jeneral Thailand di Kelantan Phasit Chudabuddhi berkata, walaupun tindakan itu tidak termaktub dalam peraturan negara namun pihaknya mengalu-alukan usaha tersebut.

“Bila mereka mendaftarkan diri, pihak kerajaan dapat mengetahui jumlah sebenar rakyat Thailand berada di Kelantan.

“Setakat ini pihak kami tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung perkara tersebut. Dianggarkan sekitar 300 orang rakyat Thailand mendaftarkan diri mereka dengan pihak kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memasak Makanan Thai 2025 di Pejabat Konsulat Jeneral Thailand di sini hari ini.

Chudabuddhi memberitahu, pihaknya sentiasa mengingatkan rakyat Thailand di negeri ini supaya kekal patuh kepada undang-undang Malaysia.

Katanya, perkara tersebut sentiasa dihebahkan melalui siaran radio di Thailand selain menggunakan media sosial seperti Facebook.

“Jika masuk ke negara ini pastikan mempunyai dokumen sah seperti menggunakan pasport. Sekiranya bekerja pastikan mempunyai permit.

“Rakyat Thailand yang berkahwin dengan penduduk Kelantan turut digalakan untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak Konsulat Jeneral Diraja Thailand,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN