SEPANG: Tabung Haji (TH) akan menjalankan kajian dan analisa terperinci bagi mengenal pasti punca kematian jemaah negara di Tanah Suci baru-baru ini yang kebanyakannya meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kajian dan analisa itu penting sebagai persediaan operasi haji pada musim akan datang.
Beliau berkata, majoriti jemaah yang meninggal dunia adalah dalam kalangan warga emas berusia antara 60 hingga 75 tahun.
“Walaupun jumlah (kematian) ini kecil berbanding negara-negara lain, namun kita perlu lihat punca sebenar dan langkah penambahbaikan yang boleh dibuat untuk persediaan operasi haji tahun depan,” katanya selepas menyambut kepulangan kumpulan jemaah haji pertama di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi.
Katanya, pihaknya masih belum dapat maklumat sama ada jemaah yang meninggal dunia itu mempunyai rekod penyakit jantung sebelum ini atau hanya dikesan ketika berada di Tanah Suci.
Mohd Na’im berkata, maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas laporan penuh daripada pasukan perubatan diperoleh.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, cuaca panas ekstrem di Tanah Suci baru-baru ini mungkin menjadi antara faktor penyumbang memandangkan suhu di Arafah pernah mencecah antara 48 hingga 50 darjah Celsius.
Pada masa sama, katanya, beliau turut memuji sikap jemaah haji Malaysia yang mematuhi arahan kerajaan Arab Saudi supaya tidak keluar antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
“Kebanyakan jemaah tidak keluar dan hanya berada dalam khemah yang dilengkapi penghawa dingin. Ini membantu mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau,” katanya.
Setakat hari ini, seramai 14 jemaah haji negara, iaitu sembilan lelaki dan lima perempuan berusia antara 47 hingga 78 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci dengan 13 jemaah meninggal akibat serangan jantung dan seorang lagi akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – UTUSAN