SEPANG: Terperangkap seorang diri di tengah-tengah perang antara Iran dan Israel merupakan antara detik cemas yang terpaksa dilalui oleh sekumpulan individu yang berjaya dipindah keluar oleh Malaysia.
Warga Iran, Mina Shahbedini, 73, berkata, beliau bersyukur dibantu keluar oleh kerajaan Malaysia untuk keluar daripada negaranya yang sedang bergelut dengan rejim Zionis.
Katanya, beliau berseorangan ketika perang tersebut tercetus dan meluahkan rasa lega apabila dapat bersatu semula dengan anak perempuan dan cucu lelakinya yang sudah selamat di Malaysia.
“Sepuluh hari yang lalu sangat mencemaskan (untuk saya), terutamanya kerana saya berada bersendirian di Iran. Ia sangat menekan, tetapi sekarang setelah berada di sini, saya (mahu) lupakan semuanya.
“Keluarga saya berada di Malaysia, anak perempuan saya juga berada di Malaysia sebelum ini. Dia pulang ke Iran kira-kira tiga minggu lalu hanya untuk melawat keluarga tetapi konflik berlaku secara tiba-tiba” katanya sejurus tiba di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini kira-kira jam 11 malam tadi.
Mina merupakan salah seorang daripada 24 individu yang berjaya di bawa ke Malaysia. Daripada jumlah itu, seramai 16 rakyat Malaysia turut dibawa pulang dek kerana keadaan di Iran yang semakin meruncing sehingga merisikokan keselamatan mereka di sana.
Sementara itu, Dr. Suraiya Mohd. Ali, 72, berkata, peperangan tercetus bermula 13 Jun lalu akibat serangan Israel adalah lebih teruk berbanding perang yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Kali pertama saya terperangkap ialah semasa Perang Iran-Iraq, 40 tahun lalu. Kali ini, saya datang semula untuk berhari raya dan sekali lagi, saya terperangkap. Tapi peperangan kali ini jauh lebih teruk.” katanya.
Dr. Suraiya bersama suaminya berada di Iran sejak 13 Jun lalu untuk menyambut Aidiladha dan menziarahi pusara kedua-dua ibu bapanya.
Penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada 18 Jun bagaimanapun dibatalkan dan lapangan terbang ditutup secara mengejut.
“Kami berada di Shiraz ketika itu. Suami saya cuba cari jalan keluar, termasuk ke Dubai, tetapi situasi tidak menentu. Alhamdulillah kami kemudian dimaklumkan Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra sedang berusaha membawa kami keluar.
“Malam sebelum evakuasi, kami menaiki bas selama hampir 15 jam ke Tehran. Pagi Jumaat, pukul 6 pagi, kami berkumpul di kedutaan. Dua hari di dalam bas, tetapi layanan staf kedutaan seperti keluarga,” katanya.
Turut berkongsi kegembiraan, rakyat Malaysia, Fadhli Yusni, 33. Beliau bersyukur isterinya, Zainab Ganood yang juga merupakan rakyat Iran selamat pulang ke pangkuannya.
Zainab pulang ke Iran pada awal bulan ini untuk menziarahi ibu bapanya namun gagal kembali ke Malaysia selepas konflik tercetus, semakin mudarat hingga ruang udara terpaksa ditutup.
“Selama 10 hari saya tak tentu arah. Setiap hari saya tengok berita dan tunggu telefon berbunyi. Sukar nak hubungi isteri. Panik. Tapi malam ini, bila dia selamat tiba, saya sangat bersyukur.
“Apabila dimaklumkan oleh pihak kedutaan bahawa isteri saya berjaya dibawa keluar dan akan pulang ke Malaysia, perasaan saya amat lega dan terharu,” katanya.










