BESUT: Seorang nenek terkilan tidak sempat berjumpa cucunya sebelum gadis itu menaiki bas yang terlibat nahas meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, semalam.
Aisah Abdul Rahim, 67, berkata, lazimnya, cucu sulungnya Fatin Nasrien Fadli, 22, ‘wajib’ datang berjumpanya dahulu sebelum menaiki bas pulang ke kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas beraya di Kampung Kerandang, di sini.
“Saya hanya mengetahui kejadian yang menimpanya setelah dimaklumkan bapanya. Saya tidak sangka kali terakhir berjumpa dengan arwah adalah pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu sebelum Fatin Nasrien pulang ke kampung ibunya di Tanah Merah, Kelantan.
“Fatin Nasrien pulang beraya di kampung Khamis lepas dan menaiki bas selepas solat Isyak semalam. Sebelum ini arwah ‘wajib’ datang berjumpa saya dahulu sebelum menaiki bas pulang ke kampus,” katanya ketika ditemui di Kampung Kerandang, semalam.
Menurut Aisah, semasa Fatin Nasrien berkunjung ke rumahnya baru-baru ini, arwah ada memaklumkan akan menjalani latihan praktikum di sebuah sekolah di Jabi pada Julai ini.
Kataya, jenazah Fatin Nasrien akan dibawa balik dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerandang setelah selesai urusan di Unit Forensik Hospital Gerik.
Nahas kira-kira pukul 1 pagi itu mengorbankan 15 nyawa membabitkan 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan bas. Ia melibatkan sebuah bas dan kereta jenis Perodua Alza, mengakibatkan bas berkenaan terbalik manakala kereta pula terbabas ke dalam parit. – UTUSAN