KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menghulurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada 15 waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, Isnin lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada bantuan kewangan secara one-off itu, sebanyak RM1,000 telah diberikan kepada keluarga mangsa baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 mangsa yang cedera dalam nahas berkenaan.
“Kejadian yang meragut 15 nyawa serta mencederakan ramai pelajar lain amat menyentuh hati seluruh rakyat, khususnya di Terengganu.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang ditimpa musibah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sangat terkesan dengan tragedi itu dan komited membantu sebaik mungkin.
“Kerajaan negeri juga memohon seluruh rakyat Terengganu supaya terus mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dan semoga keluarga mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN