KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi kemalangan di Jalan Gerik-Jeli dekat Tasik Banding, Gerik, Perak yang mengorbankan 15 nyawa, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, difahamkan, majoriti penuntut yang menaiki bas terlibat dalam nahas itu adalah anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
Kata beliau, bantuan yang disalurkan termasuk dari segi kebajikan, khidmat kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa.
“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya.
“Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh.
“Semoga mereka yang cedera diberi kesembuhan segera. Semoga seluruh keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi saat yang sangat sukar ini,” katanya hari ini.
Nahas kira-kira pukul 1 pagi itu mengorbankan 15 nyawa membabitkan 14 pelajar UPSI dan seorang kelindan bas. Ia melibatkan sebuah bas dan kereta jenis Perodua Alza, mengakibatkan bas berkenaan terbalik manakala kereta pula terbabas ke dalam parit. – UTUSAN