SEPANG: Berbaki satu hari lagi tempoh perkhidmatan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilihat masih bersemangat meneruskan khidmatnya.
Tengku Maimun hari ini dilihat hadir bagi merasmikan penutupan Persidangan Khas Hakim-Hakim di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi ini.
Beliau bersama hakim-hakim lain dilihat memasuki dewan hotel bagi menghadiri majlis penutup persidangan dua hari yang berakhir hari ini itu.
Setakat ini, persoalan sama ada Tengku Maimun bersara atau diberi lanjutan tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara masih belum terjawab.
Hari terakhir perkhidmatan Tengku Maimun, 66, sebagai Ketua Hakim Negara adalah pada Selasa ini dan mencapai usia persaraan wajib pada Rabu ini.
Ketika wajahnya dirakam lensa kamera, Tengku Maimun tidak lekang menguntum senyuman dan kelihatan masih bersemangat biarpun sedang menghitung hari-hari terakhir sebagai Ketua Hakim Negara.
Beliau juga sempat menyapa hakim-hakim yang berada di dalam dewan sebelum mengambil tempat di depan pentas.
Turut kelihatan bersama Tengku Maimun adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada Rabu ini.
Selain itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan juga turut berada di sebelah Tengku Maimun dan Abang Iskandar di hadapan pentas acara.
Tan Sri Nallini Pathmanathan adalah antara empat hakim Mahkamah Persekutuan yang dijadual bersara tahun ini selain Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah.
Dalam satu majlis rasmi pada 20 Mei lalu, Tengku Maimun mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan.
Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Tengku Maimun adalah hakim wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. – UTUSAN