Teater Madu Tiga Madu angkat karya seniman agung P. Ramlee - Utusan Malaysia

Teater Madu Tiga Madu angkat karya seniman agung P. Ramlee

ABU Bakar Hamzah (duduk, dua dari kiri) menyaksikan gimik persembahan disampaikan bersempena penganjuran teater Madu Tiga Madu di Auditorium JKKN Perlis pada 27-29 Jun ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persembahan teater Madu Tiga Madu bermula pada 27-29 Jun ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis bakal mengangkat karya Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee buat tatapan umum.

Pementasan teater komedi yang diadaptasi daripada filem Madu Tiga itu bakal membawa pelbagai mesej dalam mengangkat isu berkaitan rumah tangga, toleransi dan nilai kekeluargaan.

Pengarah Teater Madu Tiga Madu, Amran Nasrudin berkata, terdapat beberapa barisan pelakon popular dan bakat baharu telah dipilih untuk diketengahkan bagi menghidupkan kisah yang akan dibawakan dalam pementasan berkenaan.

“Teater selama tiga hari ini akan diterajui oleh beberapa pelakon terkenal antaranya seperti Jibam Ramlee, Najua Nasir P. Ramlee, Keena Mentor, Datuk Imuda, Abon, Mat Over, Mubarak Majid, Yaakob Abd Aziz dan Pinat Review,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, hari ini.

Mengulas lanjut, Amran berkata, pementasan teater itu mengisahkan tentang seorang suami yang terjerat dalam dunia tiga isteri yang penuh dengan drama lucu dan pengajaran.

Katanya, menerusi pementasan teater itu, pihak produksi juga tidak mahu merosakkan dan mengekalkan sebahagian besar skrip asal dari filem ikonik seniman agung itu.

“Pihak kami memilih Perlis bagi menganjurkan pementasan teater ini bertujuan untuk memeriahkan acara dan aktiviti kebudayaan di negeri ini yang turut mempunyai ramai artis teater terkemuka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, persembahan teater seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menarik pengunjung ke Perlis sekali gus merancakkan penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).

Katanya, teater merupakan satu persembahan kesenian yang telah lama wujud di negara ini dan ia perlu disuburkan semula dalam kalangan masyarakat.

“Usaha-usaha seperti ini dapat membantu dalam menaikkan semula kesenian dan kebudayaan di Perlis di samping menarik kehadiran peungujung ke sini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN