MELAKA: Hasrat seorang pemuda untuk mengakhiri zaman bujangnya hujung tahun ini tidak kesampaian selepas Muhammad Nur Zamani, 28, maut dalam kemalangan di Jalan Persisiran Pantai Klebang di sini, pagi tadi.
Bapa Allahyarham, Mohd. Nazery Awang, 53, berkata, sebelum ini anak sulung daripada lima beradik itu bekerja kontrak dalam bidang pendawaian, sebelum beralih arah kepada perniagaan makanan bersama tunangnya di Pantai Klebang.
“Zamani baru berniaga dengan tunang, rancang nak kahwin hujung tahun ni. Dia tengah kumpul duit, tapi tak sempat. Dia usaha cari rezeki sendiri, berniaga makanan dengan tunang dia, saya tahu dia tengah bersungguh kumpul duit nak kahwin hujung tahun ini.
“Sebelum keluar pagi tadi, arwah ada kata nak pergi sarapan dengan tunang dia, tapi tak sangka pula dia ada ajak kawan dia seorang lagi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua sahabat menemui ajal selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Persisiran Pantai Klebang berhampiran lampu isyarat Hospital Oriental.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, Muhammad Nur Zamani selaku pemandu kereta Proton Wira dan penumpang, Muhammad Haziq, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki dan tangan.
Sementara itu, bapa Muhammad Haziq, Norazman Salim, 45, berkata, anak bongsunya itu baharu mendapat pekerjaan di sebuah kilang di Batu Berendam dan dijadual mula bekerja 1 Julai ini.
“Pagi tadi dia salam mak dia dan kata nak keluar sarapan dengan kawan, tapi tak beritahu pergi mana, tak sangka itu kali terakhir kami jumpa dia. Dari rumah, dia naik motosikal, tak sangka pula lepas itu, dia naik kereta bersama,” katanya. – UTUSAN