KEPALA BATAS : Tahap kesuburan di Pulau Pinang dianggap masih rendah berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Kadar Kesuburan Keseluruhan (Total Fertility Rate) ketika ini.
Mengikut rekod tersebut, hanya 1.3 anak secara puratanya dilahirkan oleh seorang wanita, jauh daripada paras penggantian populasi yang sepatutnya berada iaitu pada kadar 2.1.
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pulau Pinang, Dr. Azura Abdullah, kadar itu juga menunjukkan bahawa secara purata, setiap pasangan tidak mampu menggantikan jumlah ibu bapa mereka melalui kelahiran anak.
“Kadar kesuburan di Malaysia secara keseluruhannya juga dilaporkan berada di bawah paras penggantian, iaitu sekitar 1.7 anak bagi setiap wanita dan ini sangat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap struktur demografi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Lelaki Sempena Sambutan Hari Bapa 2025 peringkat Pulau Pinang bagi mewakili Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.
Mengulas lanjut mengenai masalah kesuburan, Dr. Azura berkata, isu itu tidak hanya tertumpu kepada wanita semata-mata, sebaliknya ia turut melibatkan faktor lelaki kerana berdasarkan data oleh klinik kesuburan LPPKN di seluruh Malaysia, 60 peratus daripada analisis air mani yang dilaksanakan adalah abnormal.
“Oleh itu, LPPKN telah memperkenalkan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (Program BuAI) yang menyasarkan pasangan warganegara Malaysia dengan pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM10,000 serta belum mempunyai zuriat.
“Tujuan Program BuAI ini adalah untuk membantu pasangan yang memerlukan rawatan kesuburan asas seperti ubat hormon, ujian ‘ultrasound’ dan prosedur IUI (permanian berhadas) manakala kos Bantuan Rawatan Kesuburan yang diberikan pula adalah sehingga maksimum RM2,000 bagi satu kitaran rawatan,” katanya.
Tambah beliau, ketika ini, rawatan terbabit boleh didapati di empat lokasi termasuk di Klinik Subfertiliti LPPKN Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak.-UTUSAN