Syed Saddiq ditawar terajui semula Muda

Syed Saddiq ditawar terajui semula Muda

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menawarkan semula jawatan Presiden kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abd. Rahman selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada semua pertuduhan kes pecah amanah.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, tawaran itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP)  kelmarin dengan keputusan sebulat suara memutuskan menawarkan semula jawatan tersebut kepada Syed Saddiq.

“Tawaran dibuat di atas dua prinsip iaitu Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integritinya melalui proses mahkamah yang telus serta adil.

“Syed Saddiq dengan secara konsisten, mempertahankan maruah dan nama baik Muda sepanjang menjadi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Amira Aisya berkata, keputusan Muda untuk mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah satu iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah.

“JKEP berpandangan bahawa dengan kembalinya Syed Saddiq dalam tampuk kepimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti terutamanya dalam usaha mengemudi parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Namun pada masa yang sama, JKEP juga menghormati keperluan Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran ini dan telah bersetuju untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada beliau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN