BANGI: Syarikat atau pemilik syarikat pengangkutan perlu bertanggungjawab atas kecuaian perkhidmatan yang ditawarkan dengan tidak seharusnya menuding jari kepada pemandu semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, meskipun cadangan beliau agar kerajaan menggubal undang-undang baharu atau meminda Kanun Keseksaan bagi memasukkan kesalahan kematian cuai korporat sebagai pandangan peribadi, namun perkara itu amat penting demi nyawa rakyat negara ini.
Beliau berkata, cadangan tersebut bukanlah pendirian kerajaan, sebaliknya beliau berpendapat sudah tiba masanya entiti korporat bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Bagi saya, syarikat atau pemilik korporat juga perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengangkutan yang disediakan.
“Tidak adil hanya menyalahkan pemandu semata-mata. Kenderaan itu milik syarikat, dan menjadi tanggungjawab pemilik untuk memastikan ia selamat dan layak digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara, di sini hari ini.
Sebelum ini, Azalina mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan untuk mewujudkan suatu kerangka perundangan baharu bagi membolehkan syarikat yang cuai secara serius hingga menyebabkan kematian boleh didakwa secara jenayah.
Katanya, langkah itu penting dalam memastikan setiap syarikat, terutamanya dalam sektor pengangkutan awam dan logistik, mengambil serius aspek keselamatan pekerja dan pengguna.
“Kita perlu wujudkan elemen pencegahan dalam undang-undang. Jika syarikat tahu mereka boleh dikenakan tindakan jenayah kerana kecuaian serius, sudah pasti mereka akan lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.
Azalina berkata, perbincangan berkaitan pindaan undang-undang atau penggubalan akta baharu masih berada pada peringkat awal, namun tidak menolak kemungkinan ia akan diperhalusi oleh pihak berwajib sekiranya wujud keperluan dan sokongan mencukupi.
“Buat masa ini ia bukan dasar kerajaan, tetapi sebagai penggubal dasar, kita mesti sentiasa terbuka kepada cadangan yang boleh memperkukuh perlindungan rakyat,” katanya. – UTUSAN