Syarikat bas nafi guna khidmat pemandu lori bawa pelajar UPSI

Syarikat bas nafi guna khidmat pemandu lori bawa pelajar UPSI

KEADAAN bas membawa pelajar UPSI yang terlibat kemalangan di Jalan Gerik-Jeli dekat Tasik Banding di Gerik, Perak. -  IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Syarikat Kenari Utara menafikan menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk bas Noreen Group yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, sehingga meragut 15 nyawa, hari ini.

Pegawai Operasinya, Mohd. Nazri Nawi berkata, pihaknya menggunakan khidmat seorang pemandu berpengalaman berusia sekitar 52 tahun dari sebuah syarikat pengendali bas ekspres lain sebagai pemandu kedua.

“Saya tidak tahu dari mana timbul dakwaan tersebut dan ia mungkin tanggapan melulu netizen dalam media sosial. Saya menafikan dan pihak kami pastinya tidak akan ambil pemandu sembarangan.

“Bas itu sepatutnya dikendalikan oleh dua pemandu tetapi salah seorangnya bercuti. Jadi kita pinjam seorang pemandu yang sudah ada pengalaman membawa bas ekspres dari syarikat lain sebagai pemandu kedua,” katanya ketika ditemui di Pejabat Operasi Noreen Group di Tunjung, di sini hari ini.

Mohd. Nazri berkata, kedua-dua pemandu mempunyai rekod bersih dan telah dipastikan bebas daripada penggunaan bahan terlarang semasa menjalankan tugas mereka.

Katanya, Hospital Gerik memaklumkan pemandu utama yang merupakan kakitangan Syarikat Kenari Utara mengalami patah tangan namun pemandu kedua dikatakan mengalami kecederaan yang agak kritikal.

“Bagaimanapun saya tidak dapat memastikan tahap kecederaan kritikal pemandu kedua itu kerana tidak dapat berhubung dengannya sehingga kini. Saya juga tidak dapat memastikan sama ada pemandu pertama atau kedua yang memandu ketika kejadian berlaku.

“Saya cuma mendapat panggilan sekitar pukul 1 pagi untuk memaklumkan kejadian sahaja dan terus ke tempat kejadian. Namun tidak sempat menemui kedua-dua pemandu yang telah dibawa ke hospital. Cuma saya dimaklumkan oleh pihak Hospital Gerik  bahawa kedua-dua pemandu akan dirujuk ke Hospital Taiping,” ujarnya.

Mohd. Nazri berkata, pihaknya sedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk polis dan akan menyediakan semua dokumen diperlukan.

Utusan Malaysia hari ini melaporka,n anak kepada pemandu yang sepatutnya mengendalikan bas terbabit, Noraini Mat Seman memberitahu bapanya Mat Seman Che Lah sepatutnya menjadi pemandu.

Noraini berkata, bapanya tidak mengambil tugas tersebut kerana mahu menghantarnya bersama anak-anak pulang ke Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN