Syabu untuk 3.6 juta penagih dirampas

Syabu untuk 3.6 juta penagih dirampas

MUHAMMAD Abdul Halim (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas menerusi pemeriksaan sebuah kereta sekitar Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar dalam sidang akhbar di IPK Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis merampas sya­bu seberat 365 kilogram (kg) bernilai RM13.14 juta yang boleh digunakan oleh 3.6 juta penagih dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar, kelmarin.

Menerusi pemeriksaan sekitar pukul 3.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bersama kereta Proton Waja.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemukan di dalam kenderaan tersebut yang mengandungi sya­bu seberat 365 kg.

Katanya, suspek dipercayai dengan menggunakan kawasan hutan di sekitar Padang Besar untuk dijadikan sebagai transit sebelum bekalan dihantar ke selatan tanah air.

“Polis percaya dadah tersebut dibawa masuk secara berpe­ringkat untuk dikumpulkan sebelum diedarkan oleh sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam.

Muhammad berkata, saringan awal juga mendapati suspek ditahan positif Methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Polis juga sedang giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun di Taman Singgah Sana, Padang Besar, bersama dua ketulan mampat ganja, sekitar pukul 2.15 pagi, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketulan mampat ganja itu disembunyikan dalam sebuah tong sampah dan dianggarkan bernilai RM6,200.

“Saringan awal mendapati suspek positif dadah Methamphetamine dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 20,000 penagih.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN