TANGKAK: Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki kelar isterinya sehingga maut di Taman Cahaya, Bukit Gambir, dekat sini kelmarin berulang kali melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi permohonan perintah reman pagi ini.
Suspek berusia 33 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.25 pagi dengan diiringi anggota polis.
Ketika ditempatkan di dalam lokap mahkamah, suspek berkali-kali melaungkan kalimah Allahuakbar, beristighfar dan mengucapkan syahadah.
Dia yang memakai pakaian lokap berwarna ungu turut menjerit-jerit sambil merengus dalam keadaan kegelisahan.
Majistret Lee Kim Keat membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama, iaitu melakukan khianat dengan api.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki mengelar isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Difahamkan selepas itu suspek pergi ke rumah ibu mentuanya di Kebun Baru, Pagoh dan cuba membakar kediaman keluarga tersebut, tetapi hanya menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan.-UTUSAN