KULAI: Syarikat pembuatan badan bas, Sun Bus Tech Sdn. Bhd. menawarkan gaji permulaan sebanyak RM4,000 kepada pekerja berkemahiran baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, inisiatif itu hasil kerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) turut selari dengan visi kerajaan negeri dalam meningkatkan standard pembangunan bakat tempatan.
Beliau yang juga Pengerusi JTDC berkata, komitmen syarikat tersebut menyediakan latihan dan gaji yang kompetitif boleh menjadi contoh kepada penggiat industri dalam membina masa depan yang lebih kukuh.
“Kita harap inisiatif gaji premium ini menjadi model dan pencetus bagi lebih banyak syarikat di Johor untuk melabur dalam pembangunan bakat serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.
“Usaha ini menyokong visi kami untuk mengekalkan bakat berkemahiran, mengukuhkan asas perindustrian dan memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan serta inovasi yang menarik,” katanya selepas Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) di sini, hari ini.
JTDC adalah inisiatif penting di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi, selari dengan keperluan pelabur dan industri yang semakin berkembang di negeri ini.
Sasaran utama JTDC adalah untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sudah dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini.
Menurut Aznan, semakin banyak syarikat di negeri ini menunjukkan minat terhadap inisiatif pembangunan bakat negeri dan beberapa lagi NoU dan memorandum persefahaman (MoU) sedang dirangka untuk dimeterai dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech, Shyan Pang berkata, syarikatnya menyasarkan pengambilan kira-kira 200 pekerja menerusi program itu dengan 40 peratus jawatan telah diisi, fokus utama adalah bidang teknikal dan pembuatan seperti juruteknik serta operator mahir.
“Kerjasama Sun Bus Tech dan JTDC bukan sahaja menyediakan bantuan latihan, malah memberikan akses bagi pendedahan industri, latihan sambil bekerja di kemudahan Sun Bus Tech dan laluan kerjaya yang terjamin selepas tamat pengajian,” katanya.
Sun Bus Tech berpusat di Senai Airport City, dekat sini adalah pemain utama dalam industri pengangkutan, khususnya pembinaan badan bas berkualiti tinggi untuk kenderaan konvensional dan elektrik. – UTUSAN