KUALA LUMPUR: Rita Rudaini merekodkan pencapaian terindah apabila pelakon itu dipilih sebagai penerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis Kali Ke-3.
Penganugerahan itu disampaikan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Rita dipilih sebagai penerima anugerah itu atas sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang seni tanah air khususnya lakonan, selain usaha murninya dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Raja Perlis atas anugerah ini.
“Rezeki ini bukan sahaja untuk saya, malah anak-anak dan semua yang menyokong perjalanan seni saya selama ini,” katanya.
Rita yang memulakan karier lakonannya pada tahun 1997 telah menjayakan lebih 12 filem dan lebih 44 buah drama serta lebih 50 buab telefilem.
Ibu kepada dua cahaya mata ini pada tahun 2024 berjaya mendominasi kategori Aktres Pembantu TV Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36. – UTUSAN