Sultan Selangor titah ambil tindakan isu penipuan pakej haji

Sultan Selangor titah ambil tindakan isu penipuan pakej haji

SEBAHAGIAN daripada 380 bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji untuk menipu umat Islam.

Baginda menzahirkan ketegasan itu berikutan bimbang dengan peningkatan kes penipuan termasuk melibatkan lebih 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, kejadian itu amat mengecewakan baginda kerana terdapat jemaah yang sanggup berkorban mencari wang dengan menjual aset atau tanah bagi menunaikan rukun Islam kelima berkenaan.

Namun, katanya, mereka menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab dan hasrat pergi ke Tanah Suci musnah begitu saja.

“Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi itu daripada kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi.

“Susulan titah baginda, MAIS menggesa mangsa penipuan segera membuat laporan polis dan memberi segala maklumat bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Utusan Malaysia pada Selasa lalu melaporkan kira-kira 80 jemaah haji yang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci terpaksa membatalkan niat murni itu apabila mereka dilaporkan ditahan di KLIA.

Difahamkan, kumpulan jemaah itu ditahan pasukan ‘task force’ ekoran menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Menurut Salehuddin, tindakan tegas perlu diambil dengan mengheret pihak terlibat ke mahkamah.

“Ini bagi memastikan gejala buruk dan tidak bertanggungjawab itu dapat segera dibenteras sekali gus menyelamatkan umat Islam daripada ditipu. Kes terbaharu itu dipercayai berpunca daripada pakej haji yang disyaki ditawarkan oleh sindiket,” ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan umat Islam sentiasa menyemak latar belakang dan kelulusan penyedia perkhidmatan ibadah haji.
“Pengesahan status agensi boleh disemak melalui senarai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di laman rasmi Lembaga Tabung Haji (LTH).

“Orang ramai diminta berwaspada dengan tawaran pakej haji yang terlalu murah atau percuma kerana ia biasanya modus operandi penipuan. Lapor segera kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Salehuddin, orang ramai diseru sentiasa memastikan setiap urusan dengan ejen dan syarikat berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan haji atau umrah berjalan lancar.

“Umat Islam yang berhasrat menunaikan haji juga perlu mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN