KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli, semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Raja, Datuk Mohd Sophian Abu Bakar berkata, baginda berdua juga menzahirkan perasaan sedih yang mendalam ke atas tragedi yang menimpa pelajar-pelajar tersebut.
“Baginda berdua mendoakan mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam waktu yang sukar ini. Baginda berdua berdoa semoga roh arwah dihimpunkan bersama-sama orang yang soleh dan solehah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Sophian berkata, baginda berdua turut mendoakan agar mangsa yang sedang mendapatkan rawatan di hospital diberi kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan. – UTUSAN