Sultan Mizan rasmi Mayang Mall, destinasi beli-belah dan gaya hidup baharu - Utusan Malaysia

Sultan Mizan rasmi Mayang Mall, destinasi beli-belah dan gaya hidup baharu

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) berkenan menyempurnakan gimik perasmian Mayang Mall di Kuala Terengganu, Terenggan. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu,  Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pusat beli-belah moden Mayang Mall, di sini yang merupakan pelaburan hartanah pertama di Pantai Timur oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

Berangkat sama pada majlis perasmian tersebut ialah Sultanah Terengganu,Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu,  Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perasmian ini menandakan satu lagi pencapaian strategik bagi PHB dalam usaha memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam pembangunan hartanah komersial yang mampan dan bernilai tinggi di Malaysia.

Menerusi pelancaran rasmi Mayang Mall, PHB tampil sebagai pemangkin atau katalis yang membuka pintu kepada pelbagai peluang di Pantai Timur sekali gus memperluas potensi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri ini.

Pengerusinya, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, daerah ini dipilih sebagai destinasi pertama pelaburan hartanah syarikat itu di Pantai Timur kerana potensi pertumbuhan ekonomi yang sangat besar.

“Kita semua tahu bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuala Terengganu mengalami transformasi pesat sebagai pusat pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan.

“Kami yakin dan percaya dengan kedudukannya yang strategik dan kemudahan infrastruktur yang semakin berkembang, Kuala Terengganu mampu menjadi hab ekonomi baharu di Pantai Timur,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis berkenaan.

Mayang Mall yang beroperasi sejak Disember 2024 mempunyai 308 lot kedai itu turut menampilkan cawangan SOGO yang pertama di Pantai Timur, sekali gus menjadikan Mayang Mall sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup baharu untuk rakyat serta pengunjung negeri Terengganu dari dalam dan luar negara.

Pembinaan Mayang Mall dengan keluasan 1.64 juta kaki persegi melibatkan kos  lebih RM400 juta itu bukan sahaja mencerminkan mandat sosial PHB dalam merancakkan ekonomi bumiputera, khususnya di Terengganu malah menjadi bukti komitmen PHB terhadap pelaburan strategik di negeri ini.

Kata beliau, kewujudan Mayang Mall berupaya menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi setempat apabila ia mampu merangsang pertumbuhan sektor-sektor lain seperti peruncitan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan.

“Mayang Mall juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang secara tidak langsung boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PHB sebagai penaja kepada dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk terus memperluas peluang pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersial yang bernilai tinggi,”katanya.

Beliau berkata, PHB kini sedang meneroka peluang pelaburan pembangunan hartanah baharu di negeri ini khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN