PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Bapa kepada seluruh rakyat Malaysia yang bergelar bapa.
Sultan Ibrahim bertitah, betapa pentingnya peranan seorang bapa dalam kehidupan sesebuah keluarga.
“Seorang bapa bukan sahaja menjadi tulang belakang keluarga, malah merupakan sumber kekuatan serta pembimbing dalam kehidupan anak-anak,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran Facebook Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala pengorbanan, kasih sayang dan didikan yang telah dicurahkan oleh para bapa dalam membentuk generasi cemerlang.
“Terima kasih atas segala pengorbanan, kasih sayang serta didikan yang tidak ternilai.
“Walaupun kadangkala tidak terucap dengan kata-kata, jasa dan cinta seorang bapa sentiasa tersemat di hati.
“Semoga Allah SWT juga sentiasa merahmati Almarhum ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum Sultan Idris Shah II,” titah Seri Paduka Baginda.
Hari Bapa disambut pada hari Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun bagi menghargai jasa dan peranan besar seorang bapa sebagai pelindung dan tonggak keluarga. – UTUSAN