PASIR SALAK: Seorang suami meminta bantuan orang ramai mengesan isterinya yang hilang sejak 25 Mei lalu.
Hairol Jahim Mahmud, 42, dari Kampung Redang Punggor Labu Kubong, Chenderong Balai di sini berkata, Ellyza Ibrahim, 42, gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah selepas mereka keluar ke pekan Teluk Intan.
Katanya, isterinya hilang selepas pergi ke tandas di Kompleks Menara Condong.
“Kehilangan isteri secara tiba-tiba menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara kami. Sebelum itu elok saja kami keluar ke Teluk Intan bersama anak Nurin Afirina Hairol Jahim berusia 13 tahun.
“Saya sangat bimbangkan keselamatannya. Saya sudah berusaha mengesannya di banyak tempat dan bertanya kepada saudara mara dan kawan-kawan dan dalam media sosial serta menghubungi telefonnya tetapi dimatikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hairol Jahim berkata, dia kasihan melihat anak tunggal mereka yang kerap bertanya keberadaan ibunya.
“Saya harap isteri segera pulang. Jika marah pun dengan saya atau ada masalah bukan begini caranya, kalau saya salah, saya mohon maaf,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Ellyza diminta menghubungi Hairol Jahim di talian 014-9367453.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu pada 10 Jun lalu. – UTUSAN