PETALING JAYA: Klip video seorang lelaki mencampak barang dari dalam troli yang diambil isterinya di sebuah pasar raya dipercayai berlaku di Seri Kembangan dekat sini, tular dalam media sosial sejak semalam.
Kejadian bermula apabila berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum lelaki itu mencampakkan barangan yang ada dalam troli.
Turut kedengaran isterinya melarang si suami mencampak barangan itu kerana diperlukan untuk persiapan Hari Raya Aidiladha.
“Saya memang nak sebab raya sudah nak dekat,” kata si isteri.
Si suami dilihat gagal mengawal kemarahan dengan bertindak mengambil troli itu sebelum menterbalikannya.
Kemudian, mereka ditenangkan oleh pekerja pasar raya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah kejadian sebenar atau kandungan (content) media sosial semata-mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, setakat ini tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak. – UTUSAN