GEORGE TOWN : Hampir setiap hari, Alyaa Adrienna Alyssa Mohd. Fahmy, 20, akan berulang alik sejauh 114 kilometer (km) dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah ke Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin di sini, semata-mata untuk menuntut ilmu.
Disebabkan itu juga, dia mempunyai masa yang terhad untuk mengulang kaji pelajaran dan hanya sempat berbuat demikian ketika dalam perjalanan ke sekolah atau sewaktu pulang ke rumah kira-kira pukul 5 petang sahaja.
Bagaimanapun, berkat kesabarannya, Alyaa akhirnya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya memang puas hati selepas memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 walaupun pada awalnya rasa gementar untuk menantikan keputusan tersebut.
“Masa saya setiap hari pula hanya di atas jalan. Keluar rumah dari pukul 5 pagi dan akan sampai rumah (semula) pukul 5 petang,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Alyaa, bapanya, Mohd. Fahmy Mustafa telah meninggal dunia akibat masalah jantung kira-kira dua bulan sebelum dia menduduki STPM.
“Waktu itu, saya rasa begitu sedih atas kehilangannya, tetapi, saya terpaksa teruskan belajar untuk beroleh keputusan yang cemerlang,” katanya yang memberitahu, peranan sebagai ketua keluarga kini dipikul oleh ibunya, Suzana Marlina Hasan, 49, yang membawanya ke sekolah setiap hari.
Tambah Alyaa, dia kini berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang perundangan kerana bercita-cita untuk menjadi seorang doktor selepas ini.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Nur Aishah Marzuki, 20, gembira kerana dapat menunaikan janji kepada arwah bapanya, Marzuki Hashim untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPTM.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, Butterworth berkata, arwah bapanya itu yang juga merupakan bekas anggota tentera meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira lima tahun yang lalu.
“Ibu saya (Wan Noriza Azmi) tidak bekerja dan kami hidup sederhana sahaja dengan bergantung kepada wang pencen arwah ayah. Tapi ibu adalah penguat semangat saya untuk berjaya.
“Sebab itulah, saya kena rajin berusaha untuk capai keputusan yang baik dalam STPM dan Alhamdulillah, saya berjaya,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.-UTUSAN