Steven Sim bantu Saundarya penuhi impian bergelar doktor

Steven Sim bantu Saundarya penuhi impian bergelar doktor

STEVEN Sim bergambar bersama Saundarya ketika dijemput menghadiri majlis konvokesyen pelajar perubatan itu, baru-baru ini.-FACEBOOK/STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Gara-gara tidak mampu melangsaikan yuran pengajiannya yang tertunggak, seorang pelajar perubatan nyaris terpaksa untuk melupakan impiannya bergelar doktor.

Pelajar terbabit, Saundarya dikatakan mempunyai tunggakan yuran sebanyak RM18,000 dan perlu menjelaskan bayaran tersebut atau mungkin dihalang daripada menduduki peperiksaan semester akhir tahun lepas.

Buntu untuk mendapatkan wang bagi tujuan berkenaan, pelajar perempuan itu kemudian cuba menghubungi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Steven dalam satu kenyataan hari ini, dia masih ingat ketika menerima surat daripada Saundarya yang sangat terdesak untuk melangsaikan yuran pengajian yang tertunggak ketika itu.

“Tapi, hutang puluhan ribu ringgit itu memang amat berat sekali. Ayahnya (bapa Saundarya) pemandu lori. Umur dah 60 tahun. Dah tak larat, tapi, dia bertekad nak bantu anaknya itu mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.

“Ketika saya melawat rumah mereka untuk membayar hutang yuran pengajian itu, si ayah berkata, dia pemandu lori manakala ibunya pula penoreh getah. Tapi, dia nak supaya anaknya berjaya dalam hidup.

“Lima tahun bekerja keras bermandi keringat dan air mata, hari ini, Saundarya akhirnya bergelar doktor. Dia (Saundarya) bukan sahaja lulus pengajian, malah, mendapat pingat pelajar cemerlang dan tiga kali mendapat Anugerah Dekan,” katanya.

Jelas Steven, Saundarya akan mula bertugas di salah sebuah hospital di Pulau Pinang mulai minggu depan.

“Saya beritahu dia bahawa saya tak mengharapkan apa-apa balasan. Tapi, Dr. Saundarya kena ingat jasa ibu ayah sampai bila-bila dan apabila memakai kot putih (uniform doktor) nanti. Harus sentiasa cuba sedaya upaya untuk bantu orang yang memerlukan.

“Bila jumpa pesakit daripada golongan susah, ingat kembali bilik sewa kecil tempat awak belajar, roti dan ‘maggi’ yang jadi teman malam-malam. Rawat mereka bukan sekadar dengan ilmu, tapi dengan hati.

“Selamat bertugas, Dr. Saundarya. Dunia ini perlukan doktor yang bukan saja cerdik, tetapi juga berhati besar,” kata Steven.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN