PETALING JAYA: Bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie akan dirakam keterangan minggu depan di Indonesia.
Sumber memaklumkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan akan merakam keterangan Jovian selama dua hari di Jakarta.
“SPRM sudah membuat temu janji termasuk lokasi keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu akan diambil.
“Pegawai penyiasat akan terbang ke Jakarta minggu depan dan berada di sana selama dua hari untuk bertemunya,” katanya.
Keterangan Jovian diambil di Jakarta kerana bekas suami Nina Sabrina Ismail Sabri sudah kembali menetap di negara berkenaan.
Beliau yang pernah berkahwin dengan anak sulung Perdana Menteri Kesembilan itu kembali ke Jakarta selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya, tahun lalu.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan belum merakam kenyataan Jovian, susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan Ismail Sabri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, pihaknya akan merakam keterangan Jovian.
Terdahulu, Ismail Sabri telah beberapa kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM berhubung siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ia membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009.
Ahli Parlimen Bera itu sudah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan. – UTUSAN