Soren capai 80 peratus tempahan di Suria Hill

Soren capai 80 peratus tempahan di Suria Hill

SOREN terdiri daripada 142 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan antara 1,606 hingga 1,741 kaki persegi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FASA pertama kediaman Soren di Suria Hill, Bandar Puncak Alam, menerima sambutan memberangsangkan apabila hampir 80 peratus unit telah ditempah, mendorong IJM Land untuk melancarkan fasa baharu yang dinamakan Sovana pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, Soren direka sebagai kediaman yang seimbang antara elemen moden dan nilai kelestarian, selari dengan kehendak pembeli masa kini yang mahukan lebih daripada sekadar tempat tinggal.

“Soren mencerminkan perubahan keutamaan pembeli hari ini yang semakin menitikberatkan kesihatan mental dan fizikal, gaya hidup aktif serta komuniti yang inklusif.

“Kami percaya kejayaan fasa ini menjadi asas kukuh untuk meneruskan pembangunan Sovana, yang menawarkan peningkatan dari segi ruang, reka bentuk dan kemudahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Suria Hill merupakan pembangunan berkepadatan rendah seluas 68.8 hektar yang dibina di atas tanah berbukit setinggi 90 meter dari aras laut, menawarkan panorama alam semula jadi serta udara yang lebih sejuk.

Soren terdiri daripada 142 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan antara 1,606 hingga 1,741 kaki persegi, lengkap dengan anjung kereta berjubin, bilik air aras bawah mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU), serta ruang halaman yang fleksibel untuk aktiviti keluarga.

Projek ini turut menawarkan titik pengecasan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong gaya hidup mesra alam serta direka dengan pertimbangan reka bentuk universal bagi memastikan keselesaan kepada semua peringkat umur dan keperluan.

Kediaman ini turut dikelilingi Vitality Garden seluas 1.8 hektar yang menyediakan ruang refleksi dan rekreasi, manakala komuniti Suria Hill secara keseluruhan bakal menikmati kemudahan Suria Park yang merangkumi laluan pejalan kaki sepanjang 1.8 kilometer, gelanggang pelbagai guna, zon papan selaju dan kawasan riadah keluarga.

Lokasi Suria Hill juga strategik dengan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Selain itu, ia juga berhampiran Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Puncak Alam dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dijangka memberi kelebihan mobiliti tambahan kepada penduduk.

Mengulas lanjut, Kian Soon berkata, fasa kedua dikenali sebagai Sovana bakal memperkenalkan rumah teres dua tingkat bersaiz 20 x 70 kaki dengan keluasan binaan 1,919 kaki persegi, dibina di atas tanah setinggi 50 meter dari aras laut.

Menurut beliau, Sovana dirancang untuk memenuhi keperluan keluarga muda yang mencari rumah luas dalam komuniti berkonsepkan kesejahteraan dengan persekitaran yang menghijau, selamat dan moden.

“Sovana mengekalkan elemen inklusif dengan kemasan premium seperti lantai kayu lamina, bilik mandi dengan jubin penuh, serta memperoleh pensijilan GreenRE Bronze yang menepati piawaian kelestarian.

“Kami juga memperkenalkan Joyous Garden, taman landskap seluas 2.8 hektar yang menyediakan dek yoga, taman permainan bertingkat, sudut santai serta gelanggang pelbagai guna,” ujarnya.

Dengan kejayaan awal Soren dan daya tarikan gaya hidup yang ditawarkan di Suria Hill, IJM Land optimis Sovana akan menerima sambutan positif dalam kalangan pembeli yang mementingkan nilai jangka panjang dan kualiti hidup.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN