PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai salah satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.
Pengiktirafan peringkat global itu diberikan susulan inisiatif inovatif sekolah berkenaan dalam menangani isu kesihatan mental pelajar melalui pembangunan aplikasi mudah alih dinamakan Helpie.
Ia merupakan satu aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh pelajar bagi menyokong kesejahteraan emosi rakan sebaya mereka.
Aplikasi tersebut bukan sahaja memudahkan akses kepada sokongan kesihatan mental, malah turut menjadikan proses itu lebih interaktif, menyeronokkan dan inklusif, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan menyeluruh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar SK Putrajaya Presint 11(1), pengumuman finalis 10 sekolah terbaik ini sangat mengembirakan dan membanggakan kepada seluruh warga sekolah.
“Sesuatu yang bukan mudah untuk dicapai kerana ia memerlukan usaha berterusan, kerjasama, dan kepercayaan atas setiap apa yang dilaksanakan oleh guru-guru dan murid-murid di sekolah setiap hari.
“Kami masuk penyertaan dalam kategori kategori Menyokong Kehidupan Sihat. Kami menyediakan projek pembelajaran berkaitan kesihatan mental. Projek ini telah berjaya di peringkat Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia merupakan antara anugerah pendidikan paling berprestij di peringkat antarabangsa dan merangkumi lima kategori utama iaitu Menyokong Kehidupan Sihat, Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi serta Mengatasi Cabaran.
Pemenang bagi setiap kategori akan dipilih oleh Akademi Juri Pakar berdasarkan kriteria yang ketat, manakala kesemua 50 finalis dari seluruh dunia turut akan bertanding dalam Undian Awam untuk merebut Anugerah Pilihan Komuniti.
Pengumuman rasmi pemenang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini. Finalis dan pemenang akan dijemput menghadiri Persidangan Sekolah Dunia yang akan diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 15 dan 16 November depan.
Sementara itu, Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, pencapaian SK Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa pendidikan berkualiti yang berteraskan nilai kemanusiaan mampu membentuk masa depan yang lebih baik.
“Ketika dunia berubah pantas akibat kemajuan teknologi dan cabaran global seperti perubahan iklim, kemiskinan serta konflik, sekolah seperti ini memberi harapan baharu. Komitmen mereka dalam memperkasakan pelajar amat menginspirasikan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN