CYBERJAYA: Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk berdepan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak yang direka khusus untuk menyokong operasi bantuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pasukan penyelamat.
Menurut beliau, PRIME menggabungkan pelbagai teknologi seperti satelit, selular, radio mudah alih, Wi-Fi dan dron, serta berkeupayaan menyediakan ketersambungan komunikasi yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan operasi di lokasi yang mencabar.
“Ini merupakan usaha pihak MCMC untuk membantu agensi termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bagi memastikan di kawasan-kawasan operasi bencana, aspek komunikasi dapat terus kita uruskan dengan baik, bukan hanya untuk para petugas tetapi juga untuk mangsa atau pun mereka yang diselamatkan.
“Kita harap PRIME ini akan dapat membantu urusan penyediaan saluran komunikasi terutama bagi pasukan-pasukan petugas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran PRIME di sini hari ini.
Dari segi teknikal, PRIME direka dengan keupayaan untuk menggabungkan sambungan satelit dan rangkaian selular bagi membolehkan capaian Internet berkelajuan tinggi disediakan secara lebih stabil dan efisien.
Bagi liputan Internet, ia boleh mencapai sejauh 150 meter di sekeliling kenderaan PRIME, dengan sokongan titik capaian Wi-Fi yang berfungsi untuk memperluas jangkauan apabila perkhidmatan diperlukan, selain turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih yang membolehkan komunikasi di kawasan yang langsung tiada liputan.
Untuk memperluas liputan kawasan operasi, PRIME juga menggunakan teknologi Wi-Fi jejaring (mesh Wi-Fi) serta sokongan dron untuk memanjangkan isyarat Wi-Fi.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, selain peranan dalam pengurusan bencana dan kecemasan, PRIME juga akan dimanfaatkan bagi menyokong program jangkauan komuniti termasuklah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berfungsi sebagai hab digital kepada komuniti setempat.
Jelasnya, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat sepanjang tahun ini dengan unit pertama yang dilancarkan akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC dan berperanan menyokong pelaksanaan operasi di Semenanjung.
Tambahnya lagi, unit kedua dan ketiga dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini dan akan ditempatkan masing-masing di Pejabat MCMC Sabah dan Sarawak.
“Kemudahan PRIME ini telah dibangunkan pada kos RM1 juta bagi satu unit dan sebanyak tiga unit akan disediakan iaitu satu unit di Semenanjung, satu (unit) di Sabah dan satu (unit) di Sarawak,” ujarnya. – UTUSAN