Sistem Kejara gagal, tidak efektif

Sistem Kejara gagal, tidak efektif

ANTHONY Loke mendengar penjelasan daripada pihak Scania berkenaan peranti had laju pada Majlis Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn. Bhd, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak 2017 perlu dirombak secara besar-besaran selepas gagal dan tidak efektif sama sekali bagi menilai dan mendisiplinkan pemandu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kegagalan utama meliputi kaedah yang digunakan bagi sistem pemberian mata demerit kesalahan ke atas pesalah trafik.

Tegas beliau, kiraan demerit Kejara hanya berkuat kuasa selepas individu itu melunaskan saman atau didakwa di mahkamah dan bukannya ketika melakukan kesalahan berkenaan.

“Masalah utama yang dihadapi kini adalah ramai pesalah tidak membayar saman itu mencecah jutaan ringgit dan ribuan kes di mahkamah.

“Oleh itu saya secara terbuka menganggap sistem itu bukan saja langsung tidak efektif malah gagal dan perlu dirombak,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penggunaan Peranti Kawalan Had laju (SLD) Bagi Kenderaan Perdagangan di sini semalam.

Anthony Loke berkata, sistem itu masih diteruskan namun akan dirombak secara terperinci.

Berdasarkan sistem Kejara, kiraan mata demerit tidak bermula ketika Orang Kena Saman (OKS) menerima notis saman dari JPJ atau polis.

Namun, ia bermula apabila OKS membayar kompaun atau denda bagi kesalahan yang tersenarai di dalam Jadual Kesalahan Mata Demerit.

Dalam pada itu katanya, syarikat pengendali lori yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak akan diheret ke mahkamah kelak.

Katanya, lesen pengendali syarikat itu juga telah dibatalkan serta merta sebelum ini.

Nahas itu meragut nyawa sembilan anggota FRU manakala sembilan lagi cedera selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Mengulas lanjut, kata Anthony, keluarga mangsa turut boleh mengambil tindakan sivil terhadap syarikat itu.

“Mereka mempunyai hak bagi mendapatkan ganti rugi dan pampasan selayaknya akibat insiden itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN