KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bukan medan ‘ya, betul YB’ atau mengeyakan kata-kata wakil rakyat sebagaimana dibangkitkan oleh pembangkang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ini kerana semua jawapan dan perbincangan direkodkan dalam bentuk pernyataan sebagai kenyataan rasmi.
“Tidak boleh begitu (dakwaan jadi medan ‘ya, betul YB’) kerana semua apa yang kita sebut dalam sidang DUN itu direkodkan dalam ‘hansard’ dan perkara itu menjadi rasmi. Sebab itu kita tidak boleh cakap main-main. Pihak kerajaan kalau menjawab soalan (sidang DUN) perlu berdasarkan fakta.
“Bukan soal pihak bertanya berpuas hati atau tidak dengan jawapan yang diberikan, sebaliknya jawapan yang diberikan adalah atas dasar fakta. Masalah kita puas hati atau tidak (dengan jawapan diberikan) itu lain,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, DUN Kelantan memberi ruang yang seluas-luasnya wakil rakyat termasuk pembangkang untuk bersuara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ketua Pembangkang DUN Kelantan Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sidang DUN sepatutnya menjadi tempat menyemak dasar dan menjaga integriti kerajaan tetapi berdasarkan pengalaman pihak pembangkang, kebanyakan masa ia menjadi medan ‘ya, betul YB’ sahaja. – UTUSAN