SERDANG: Penganjuran ShowTech MARDI 2025 mendapat sambutan luar biasa sepanjang lima hari berlangsung sekali gus berjaya menarik lebih 400,000 pengunjung, dengan anggaran jualan tunai yang mencecah RM1.048 juta.
Pada masa sama, pihak penganjur turut berjaya menjalankan rundingan 22 teknologi di bawah padanan perniagaan dengan nilai potensi berjumlah RM21 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata, kejayaan penganjuran program itu menyerlahkan tanggungjawab penyelidik MARDI untuk terus giat menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam memacu pembangunan serta pemodenan sektor agromakanan.
“Para penyelidik dan pereka cipta (inventor), saya kira umpama jambatan yang menghubungkan aplikasi sains dan teknologi kepada masyarakat melalui penghasilan inovasi dan dapatan penyelidikan yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti hidup sekaligus menyumbang kepada transformasi sosioekonomi negara.
“Justeru, penganjuran ShowTech MARDI 2025 yang bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ bertepatan dengan hala tuju kementerian untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sektor agromakanan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program ShowTech MARDI 2025 di MAEPS, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI Corporation Sdn Bhd, Norhalim Sirome.
Tambah Isham Ishak, ShowTech MARDI 2025 merupakan satu platform yang interaktif dan memberi peluang kepada masyarakat awam, terutamanya golongan penyelidik, ahli akademik serta pemain-pemain industri.
“Semua pemegang taruh ini berpeluang untuk melihat secara dekat teknologi dan inovasi agromakanan yang dibangunkan oleh MARDI serta mempunyai prospek untuk dikembangkan kepada skala industri.
“Apa yang lebih penting adalah teknologi dan inovasi yang dihasilkan dapat diterima guna dan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu, petani, penternak dan nelayan, bagi memajukan serta merancakkan industri pertanian dan agromakanan negara dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam era yang serba mencabar ini,” katanya.
Terdahulu, ShowTech MARDI 2025 mempamerkan lapan kluster pameran iaitu tanaman bernilai tinggi, tanaman industri, padi dan beras, teknologi makanan, pertanian pintar, teknologi ternakan, pemindahan teknologi dan Agro pelancongan.
Dalam pada itu, laman-laman juga turut disediakan seperti Laman sayur, Laman herba, Laman kelulut, Laman ternakan dan yang paling menarik adalah plot sayur-sayuran dimana pengunjung berpeluang memetik sendiri sayur-sayuran yang ada.
Selain pameran teknologi, laman-laman dan plot yang ada, turut diadakan jualan produk pertanian dan agromakanan oleh usahawan bimbingan MARDI yang terpilih. – UTUSAN