PETALING JAYA: “Semoga cepat sembuh rakan sekerja.”
Demikian doa pelakon, Fattah Amin buat penyanyi, Amira Othman yang kini berada di hospital akibat keracunan makanan.
Mesra menggelar penyanyi itu sebagai ‘rakan sekerja’, ucapan spontan menerusi ruangan kapsyen di Instagram tersebut secara tidak langsung menuai perhatian ramai.
Bukan itu sahaja, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot tersebut turut memuat naik gambar Amira bersama jambakan bunga tulip berwarna-warni ketika hadir melawatnya.
Lebih mencuri perhatian, Fattah turut menggunakan lagu yang berjudul Sampai Akhir nyanyian Judika sebagai muzik latar ketika mendoakan kesembuhan rakan sekerjanya itu.
Keakraban pasangan itu sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani dengan pelbagai respons yang berbaur usikan terhadap pasangan selebriti itu.
“Dia post dekat Instagram bukan dekat Instagram Story. Istimewa betul ucapan dari ‘teman sekerja kepada teman sekerja,” usik netizen.
“Manisnya abang long (Fattah) dengan teman sekerja,” kata seorang lagi netizen.
“Jika tidak penting, takkan berada di dinding media sosial seorang lelaki setia. Okay sah,” komen seorang netizen.
Sebelum ini, Fattah menyangkal dakwaan bakal mendirikan rumah tangga pada 25 Mei lalu dengan Amira selain menegaskan dirinya belum terfikir untuk menamatkan zaman duda.
Meskipun kerap dikaitkan bersama, Amira juga pernah menjelaskan bahawa hubungannya bersama Fattah tidak lebih dari seorang kawan sekerja.-UTUSAN