Sembilan syarikat tiada lesen beroperasi di tapak kebakaran Megah Ria

Sembilan syarikat tiada lesen beroperasi di tapak kebakaran Megah Ria

ANGGOTA penguatkuasa JAS mengukur kualiti udara berhampiran parit yang tercemar dengan aliran minyak hitam berikutan kebakaran di Taman Megah Ria, Masai, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Terdapat sembilan syarikat yang beroperasi di kawasan kebakaran di Taman Megah Ria di sini, dikesan tidak mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa.

Datuk Bandar Johor Bahru (MBJB), Datuk Haffiz Ahmad mendedahkan, hanya satu syarikat yang mempunyai lesen iaitu syarikat penyimpanan minyak kelapa sawit.

Katanya, manakala sembilan lagi termasuk premis cuci lori, pengumpulan barangan lusuh, tempat letak kenderaan berat dan simpanan bahan-bahan industri dibina tanpa kebenaran.

“Kawasan terlibat seluas 64,664 meter persegi dan siasatan mendapati banyak struktur dibina tanpa kelulusan walaupun tanah itu disewa,” katanya ketika meninjau kawasan terbabit.

Kebakaran yang berlaku semalam melibatkan lima buah premis kilang di kawasan perindustrian tersebut, memusnahkan tujuh buah lori, lima motosikal dan tiga buah kereta milik persendirian.

Kepulan asap dan api dilaporkan menjulang setinggi 100 meter ke udara.

Tambah Haffiz, terdapat risiko pencemaran alam sekitar apabila bahan tercemar termasuk minyak hitam dikesan mengalir ke dalam parit berhampiran sebelum menuju ke Sungai Rekoh dan akhirnya ke Selat Tebrau.

“Sebagai langkah awal, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memasang dua set lock boom di parit untuk menghalang minyak dari terus mengalir ke sungai. Kolam sementara juga dibina di tapak kebakaran untuk menahan minyak daripada masuk ke saliran,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Usaha mengekang pencemaran turut melibatkan kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang memasang oil boom di hulu Sungai Tebrau.

“Pemantauan berterusan sedang dilakukan termasuk terhadap kualiti udara, walaupun buat masa ini ruang udara masih dalam keadaan terkawal walaupun terdapat bau,” katanya.

Menurut beliau, pihak SWCorp turut diarahkan mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pengumpulan barangan lusuh di kawasan berkenaan kerana persekitarannya yang kotor dan dipenuhi sampah hingga ke tebing parit.

Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak JAS dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN