PETALING JAYA: “Tahukah anda, laki (suami) saya kuat menganjing (menyakat) saya?”
Demikian kata pelakon, Sharifah Sakinah yang dilihat semakin terbuka berkongsi wajah seorang lelaki yang dipercayai suaminya ketika menghadiri acara sebuah jenama mewah.
Menerusi perkongsian di Instagram, Sakinah turut memuat naik beberapa foto mesra bersama lelaki yang bernama Cyril Kongo itu.
Lebih mencuri perhatian, pelakon drama Curang Tanpa Niat itu juga tidak berselindung berkongsi foto dirinya dirangkul kemas oleh lelaki bertubuh sasa itu.
Sebelum ini, nama pelakon yang berusia 36 tahun itu kembali meraih perhatian apabila lelaki tersebut memanggilnya sayang ketika mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran buatnya, pada Mei lalu.
Hasil intaian profil media sosial, lelaki tersebut merupakan seorang pelukis grafiti terkenal di Perancis.
Terdahulu, Sakinah dikhabarkan sekali lagi mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dalam sebuah majlis tertutup, pada Aidilfitri lalu.
Bagaimanapun, pelakon itu lebih selesa tidak mendedahkan identiti suaminya kepada umum.
Untuk rekod, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015, namun bercerai selepas lima tahun bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Anais Adha yang kini berusia lapan tahun.
Kemudian, Sakinah melangsungkan pernikahan keduanya bersama seorang lelaki yang berasal dari Sweden iaitu Michael Hansen pada 2021, namun berpisah pada penghujung 2023.-UTUSAN