PETALING JAYA: Kerajaan digesa bertindak segera bagi menangani isu berkaitan pelarasan tarif elektrik baharu yang dijadual diumumkan bulan ini sebelum dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2025.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, kecekapan pembahagian kos perlu menjadi keutamaan agar pengguna tidak menanggung beban yang tidak sepatutnya.
Katanya, kos pengurusan risiko ketidakstabilan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang disalurkan ke dalam tarif umum perlu dijelaskan.
“Kos ini harus disalurkan kepada pelanggan premier yang menikmati pelepasan karbon yang rendah untuk bekalan elektrik RE dan buka ke grid umum.
“Ini mesti dilakukan secara adil untuk mengelakkan kos dan risiko diberikan kepada semua pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Piarapakaran turut menegaskan pelaksanaan penandaarasan yang telus di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi memastikan kos tarif yang cekap dan berpatutan.
Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kemungkinan krisis harga gas asli akibat kekangan bekalan global yang bakal memberi kesan besar kepada negara sebagai pengguna dan pengeluar gas asli.
“Keadaan ini merisaukan kerana harga gas asli adalah berdasarkan mekanisme harga pasaran sepenuhnya dan ini tidak adil bagi negara pembuatan seperti Malaysia yang juga negara pengeluar gas asli.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga mesti mengkaji semula perkara ini.
“Ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memantau kesan peningkatan tarif kepada kos sara hidup supaya harga barangan dan perkhidmatan adalah berpatutan dan menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN