SHAH ALAM: Sindiket penyelewengan diesel didapati mula menggunakan kad fleet yang dibekalkan majikan kepada pemandu kenderaan perdagangan untuk meneruskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya yakin ada sindiket sedemikian yang akan ditumpaskan selepas risikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sindiket sedemikian memang kreatif dan mula menyalahgunakan rasionalisasi subsidi menggunakan fleet card. Contohnya, kita dapati mereka menggunakan fleet card bukan milik mereka. Kita ambil maklum mengenainya.
“Saya boleh berjanji dengan pihak tuan dan puan (pemberita) akan dapat banyak lagi kes bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (termasuk sindiket fleet card),” katanya pada sidang akhbar selepas melawat pelupusan eksibit perdana KPDN Selangor, hari ini.
Tambahnya, kerjasama turut dijalankan bersama syarikat-syarikat minyak di negara ini dengan melaksanakan kawalan dalaman bagi memastikan kecekapan serta keberkesanan operasi membanteras sindiket tersebut.
“Kalau stesen itu terlibat dan ada bukti mereka bersubahat, kita akan tarik lesen (pengusaha) stesen minyak itu. Bagi syarikat pengeluar pula akan menyenaraihitamkan pengusaha itu,” tegasnya.
Kata Mohd. Zuhairi lagi, sepanjang enam bulan tahun ini sebanyak 96 kes berjaya diperoleh dengan melibatkan rampasan RM2.9 juta dan nilai kompaun sebanyak RM32, 000 bagi AKB 1961.
“Untuk diesel sahaja bagi tempoh sama melibatkan RM1.2 juta termasuk menumpaskan sindiket di daerah ini baru-baru ini,” ujarnya.
KPDN Selangor sebelum ini dilapor menangkap lima suspek lelaki berusia 30 hingga 45 tahun dan merampas 11 kad fleet daripada sindiket memanipulasi sistem fleet card di Taman Sri Muda, Seksyen 25 kira-kira pukul 7 malam pada 28 Mei lalu. – UTUSAN