KUALA LUMPUR: Sektor hartanah dijangka terus menjadi tumpuan bagi pasaran Malaysia pada masa depan, selari dengan pertumbuhan gelombang Revolusi Industri 4.0.
Justeru syarikat hartanah tempatan Vince Group kini bekerjasama dengan syarikat ekuit swasta berlesen, Crewstone Innternational Sdn.Bhd bagi mewujdukan platform pelaburan hartanah berimpak tinggi khusus bagi pelabur institusi yang berkelayakan.
Pengarah urusan Vince Group, Datuk Vincent Nee berkata, kerjasama itu wujud selepas pasaran di Malaysia dilihat terus mengukuh sepanjang tahun 2024.
“Kerjasama ini dapat menggabungkan kepakaran kami dalam penstrukturan pelaburan dan kekuatan ekosistem hartanah dan membuka jalan ke arah masa depan pelaburan yang lebih mampan dan berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Vincent berkata, pihaknya menyasarkan nilai pelaburan sebanyak RM35 juta dalam sektor hartanah tempatan menerusi penubuhan dana yang didaftarkan dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
“Fokus dana ini adalah kepada pembelian hartanah bernilai tinggi untuk diubah suai dan dijual semula dengan strategi penggunaan modal yang cekap dan menjana pulangan maksimum.
“Malah ini dapat menunjukkan keyakinan tinggi pelabur untuk membangunkan ekosistem hartanah bersepadu pertama di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN