Sekolah Angkat MADANI gabung kepakaran kerajaan-swasta

Sekolah Angkat MADANI gabung kepakaran kerajaan-swasta

ANWAR Ibrahim ketika gimik peluncuran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Sekolah Angkat MADANI akan menggabungkan kepakaran kerajaan dan sektor swasta sekali gus memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu mencerminkan kepercayaan kerajaan bahawa pendidikan berkualiti adalah tanggungjawab bersama.

Beliau berkata, program ini awalnya hanya menyasarkan 500 buah sekolah angkat di seluruh negara namun, ia diperluaskan hasil komitmen pelbagai pihak.

“Kita rasakan tidak adil jika kita tidak jemput badan-badan (syarikat) yang sekian lama memberikan tumpuan kepada sekolah-sekolah kami ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Katanya, organisasi yang mengambil sekolah angkat ini telah memberi komitmen kepada kerjasama jangka panjang yang memfokuskan kepada lima bidang utama.

Fadhlina berkata, bidang utama itu merangkumi peningkatan infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasa program akademik dan bimbingan pelajar; memperkukuh latihan serta pembangunan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar.

“Jadi ia (tumpuan) tidak hanya dalam satu segmen sahaja tetapi lebih luas, … pembangunan secara keseluruhan sekolah bukan sahaja pembangunan infrastrukturnya tetapi pembangunan manusiawi itu juga diberikan tumpuan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang berusaha memastikan akses pendidikan sampai kepada setiap murid, khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman dan terpencil.

“Usaha itu tidak boleh dilihat dari sudut penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan pendidikan secara holistik.

“Kita mahu lihat bagaimana pembangunan anak-anak ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Akses pendidikan adalah hak semua murid tanpa mengira di mana mereka berada.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat, KPM sedang meneliti pelaksanaan floating school atau sekolah terapung khusus untuk memberikan akses pendidikan kepada anak-anak kita di kawasan seperti Tasik Banding,” katanya.

Katanya, masih terdapat pelajar di kawasan berkenaan yang tidak mampu hadir ke sekolah akibat faktor geografi dan kekangan kos pengangkutan yang tinggi.

Jelasnya lagi, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan baharu kementerian bagi memastikan akses pendidikan lebih inklusif dan menepati keperluan sebenar komuniti setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN