BESUT: Air mata tidak mampu ditahan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof. Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan sebaik sahaja melihat naskhah al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah Azman yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, Isnin lalu.
Baginya, ia membuktikan kecintaan mendalam Allahyarham yang merupakan pelajar Fakulti Pembangunan Manusia UPSI terhadap al-Quran.
“Allahyarham adalah permata ummah dalam memartabatkan ilmu dan agama. Saya sangat terharu dan sebak apabila melihat sendiri hasil tulisan tangan arwah yang jelas membuktikan kecintaan mendalam beliau terhadap al-Quran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah keluarga Nurly Shahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini, semalam.
Dalam ziarah prihatin UMK itu, Hassan Basri diiringi Naib Canselor UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah menyantuni waris Allahyarham bagi menyampaikan sumbangan khas sebagai tanda keprihatinan institusi itu terhadap tragedi yang menimpa warga UPSI.
Allahyarham merupakan seorang hafizah 30 juzuk dan gemar menyalin ayat-ayat suci al-Quran dengan tulisan tangan sebagai sebahagian daripada rutin pengukuhan hafalannya.
Hassan Basri berkata, kunjungan berkenaan sebagai bukti solidariti dan keakraban yang terjalin antara UMK dan UPSI dalam saat-saat sukar.
“Selain menziarahi keluarga Allahyarham Nurly Shahirah, rombongan UMK turut ke kediaman keluarga arwah Nurul Fatihah Abu Setaman di Kampung Gong Duek serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib Azim di Jalan Menara, Kampung Pasir Badak, Jertih,” katanya.
Terdahulu, katanya, rombongan UMK menziarahi pelajar yang cedera dalam kemalangan sama di Kampung Padang Luas, selain melawat seorang mangsa yang masih dirawat di Hospital Besut. – UTUSAN










