BACHOK: Bapa kepada Muhammad Adib Hazim Halim, 21, memaafkan pemandu bas yang menyebabkan anaknya dan 14 lagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak, Isnin lalu.
Halim Sidik, 58, berkata, dia menganggap kemalangan tragis itu sebagai takdir yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak menyimpan dendam ke atas pemandu berkenaan.
“Saya fikir pemandu ada keluarga dan tidak berniat untuk memandu bas tersebut dalam keadaan laju walaupun banyak cerita yang dihebohkan berkaitan cara dia bawa (pandu) bas tersebut
“Soal maaf, biarlah dia memohon keampunan dari Allah. Saya reda dengan apa yang berlaku, Allah lebih menyayangi Muhammad Adib Hazim,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pangkalan Cina di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, pemandu bas secara terbuka memohon maaf kepada keluarga pelajar UPSI Tanjung Malim termasuk 15 yang terkorban selepas kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik.
Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, berkata, peringkat awal perjalanan bas dari Terengganu itu berada dalam keadaan baik.
Katanya, secara tiba-tiba dia mendapati brek bas gagal berfungsi dan telah berusaha pelbagai cara untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar.
“Seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian. Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam. Saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk,” katanya.-UTUSAN