SHAH ALAM: Kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan seramai 200,000 individu daripada senarai bankrap menjelang hujung tahun ini sejajar Dasar Peluang Kedua yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga hari ini, seramai 186,000 individu yang sudah keluar daripada masalah tersebut, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Insolvensi.
“Seperti saya maklumkan (dalam ucapan), lelaki lebih ramai bankrap berbanding perempuan. Setakat ini, sejumlah 186,000 individu bankrap dilepaskan.
“Kita harap, hujung tahun ini jumlah itu meningkat kepada 200,000. Kita cuba lepaskan lebih cepat kerana ini arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi program Dasar Peluang Kedua,” katanya selepas merasmikan Program Perdana Literasi Kewangan peringkat IPTA/IPTS di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Dasar Peluang Kedua adalah dasar yang memberikan peluang kedua kepada golongan bankrap bagi memberikan peluang untuk mereka kembali menyumbang kepada ekonomi negara dan menjalani kehidupan yang baharu.
Azalina meminta golongan belia supaya mengambil tahu serta memahami segala maklumat yang diberikan syarikat kewangan yang menawarkan kemudahan kad kredit kepada mereka.
Ini kerana menurutnya, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal menjadi salah satu faktor golongan belia jatuh ke dalam dunia bankrap.
“Tadi ketika ucapan saya ada maklum kepada pelajar ini berhubung bayaran faedah yang dikenakan syarikat ini sekiranya mereka menggunakan kad kredit untuk membeli apa sahaja barang.
“Saya faham yang mana belia yang baru dapat kerja ini beli mereka berduit, ada di antara mereka yang akan ambil kad kredit. Bila ambil kad kredit, mereka akan beli guna kad ini.
“Ada di antara mereka tidak tahu bahawa setiap kali mereka guna kad kredit, mereka dikenakan bayaran faedah daripada syarikat yang mereka ambil kad kredit itu,” jelasnya. – UTUSAN










