Salur sumbangan hanya kepada Tabung UPSI Prihatin, Tabung Kebajikan MPP

Salur sumbangan hanya kepada Tabung UPSI Prihatin, Tabung Kebajikan MPP

MD. Amin Md. Taff ditemui di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Orang ramai yang ingin membuat sumbangan kepada keluarga waris 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik dinasihatkan berbuat demikian melalui Tabung UPSI Prihatin dan Tabung Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, ia bagi memastikan semua sumbangan dapat diaudit, selain disampaikan terus kepada penerima dan mengelak diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari Facebook dan laman web rasmi UPSI,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Semalam, perjalanan kembali ke kam­pus 15 pelajar UPSI berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Ki­lometer 53, JR­TB.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 1 pagi itu, 13 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi ce­dera.

Dua mangsa yang cedera pa­rah dirawat di HRPB, empat di Hospital Baling, Kedah manakala mangsa lain di Hospital Gerik.

Tambah Dr. Md. Amin, UPSI akan menyalurkan bantuan menyeluruh kepada waris 15 pelajar yang maut termasuk barangan peribadi kesemua mangsa akan dihantar terus kepada setiap keluarga tanpa memerlukan mereka mengambilnya di kampus.

Katanya, pihaknya turut membantu daripada sudut kaunseling kepada waris pelajar yang meninggal dunia dan yang masih mendapatkan rawatan di hospital.

“Barang-barang mangsa kita akan hantar ke kampung masing-masing tanpa perlu waris mengambilnya. Kebajikan kita akan utamakan termasuk pelajar yang mengalami kecederaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN