Rumah Kasih Ihsan sinar baharu buat bapa lima anak

Rumah Kasih Ihsan sinar baharu buat bapa lima anak

KHOO Poay Tiong menyerahkan kunci Rumah Kasih Ihsan kepada Muhammad Razmi (tengah) sekeluarga sambil disaksikan Mohd. Noor Helmy di Kampung Padang Semabok, Melaka. – UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Syukur tak terhingga, inilah impian kami sekeluarga, akhirnya dapat juga kami tinggal di rumah yang selesa dan selamat.” Demikian kata Muhammad Razmi Razali, 29, selepas menerima kunci rumah baharu hasil bantuan peruntukan Parlimen Kota Melaka.

Rumah baharu yang dinamakan Rumah Kasih Ihsan itu dibina di atas tanah miliknya di Padang Semabok dengan kos RM80,000, melibatkan peruntukan penuh daripada pejabat Parlimen berkenaan.

Muhammad Razmi yang tinggal bersama isteri, lima orang anak dan bapanya sebelum ini menetap di sebuah rumah usang yang terlalu uzur dan tidak lagi selamat didiami.

Menurutnya, rumah lama itu terpaksa dirobohkan dan sepanjang tempoh pembinaan mereka sekeluarga menumpang sementara di rumah kakaknya.

“Saya hanya bekerja sebagai pekerja kontrak binaan dan tidak mampu nak bina rumah dengan duit sendiri, tak sangka ada yang sudi bantu kami sampai macam ini sekali.

“Saya sendiri turun ke tapak setiap hari dan bantu mana yang boleh, sebab ini rumah kami, saya mahu pastikan semuanya siap elok,” katanya selepas majlis simbolik penerimaan replika kunci rumah tersebut daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Kampung Padang Semabok, di sini.

Poay Tiong berkata, projek pembinaan rumah itu telah bermula pada 13 Januari dan siap sepenuhnya pada 13 Jun lalu dan lawatan ke rumah sebelum ini telah dilakukan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada 13 September tahun lalu.

“Hasil lawatan mendapati struktur rumah terlalu uzur dan tidak sesuai untuk diduduki serta berisiko kepada keselamatan penghuni. 

“Usaha pembinaan rumah tersebut di atas tapak sama adalah hasil kerjasama antara pejabat Parlimen Kota Melaka serta ADUN Duyong dan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN