PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar memaklumkan bahawa ruang udara di negara itu telah dibuka semula.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha berkata, susulan itu, rakyat Malaysia merancang melakukan perjalanan dinasihatkan menyemak maklumat terkini mengenai status penerbangan bagi memastikan kelancaran perjalanan.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di Qatar adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih serta mematuhi arahan rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Qatar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kedutaan Malaysia di Doha, Qatar dimaklumkan oleh Kementerian Luar Nageri Qatar mengenai penutupan sementara ruang udara Qatar.
Katanya, penutupan itu bertujuan memastikan keselamatan penerbangan keluar dan masuk ke Qatar.
“la adalah bersifat sementara dan tiada kena mengena dengan ancaman langsung ke atas Qatar,” jelasnya.
Semalam, Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar memaklumkan terdapat beberapa siri serangan terhadap pangkalan Al Udeid di Qatar.
Susulan itu, mereka menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk berada di dalam rumah, meminimakan pergerakan di luar dan sentiasa berhubung dengan Kedutaan. – UTUSAN