Ruang udara ditutup: Tiada kesesakan luar biasa di KLIA

Ruang udara ditutup: Tiada kesesakan luar biasa di KLIA

PAPARAN jadual waktu penerbangan dari Doha mengalami kelewatan susulan ruang udara Qatar ditutup sementara ketika tinjauan di KLIA Terminal 1, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tiada kesesakan luar biasa dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, susulan arahan penutupan ruang udara di beberapa negara di Timur Tengah akibat konflik Iran – Israel.

Malah, tinjauan wartawan di Balai Pelepasan, KLIA di sini mendapati tiada kesesakan penumpang dilihat dan operasi berjalan seperti biasa dan terkawal.

Tinjauan pada paparan skrin jadual pelepasan di KLIA mendapati ada beberapa penerbangan terutama ke Doha dipaparkan ‘lewat’ manakala, laluan ke Jeddah pula telah dibuka seperti biasa.

Selain itu, tinjauan sekitar 4 petang tadi juga mendapati, tiada kumpulan jemaah umrah dilihat berkumpul di tingkat 5 terminal itu.

Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan jemaah umrah terkandas di KLIA selepas penerbangan ke Jeddah dibatalkan pada saat akhir

Difahamkan, pembatalan penerbangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan beberapa negara Teluk menutup ruang udara mereka sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan Iran ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan utama dunia dilaporkan menggantung sementara atau mengurangkan operasi penerbangan masing-masing ke Timur Tengah berikutan konflik yang memuncak antara Iran dan Israel.

Ia susulan serangan di lancarkan oleh Iran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar.

Serangan itu adalah tindak balas kepada serangan terdahulu oleh AS pada Ahad yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN